Jan 10, 2025 12PM
Restoran pamer pelekat Muslim Kitchen tanpa sijil halal diserbu KPDN
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah restoran popular dengan makanan cili pan mee di Balakong kerana mempamerkan pelekat Muslim Kitchen meskipun tidak mempunyai sijil halal sah.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN cawangan Kajang Ruhaizad Zahari berkata, serbuan dilakukan pada jam 1 tengah hari semalam itu disertai empat penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas menerima aduan orang ramai.
Ruhaizad berkata, hasil siasatan mendapati premis yang sudah beroperasi empat bulan itu seolah-olah menunjukkan orang Islam boleh makan di situ kerana menggunakan tanda Muslim Kitchen yang dilekatkan pada bahagian pintu dan ruangan makan.
“Pemilik premis yang merupakan lelaki tempatan, memberikan alasan dia meletakkan pelekat Muslim Kitchen itu atas saranan pelanggan, dan tidak mengetahui perbuatan berkenaan merupakan kesalahan.
gambar sekadar hiasan - cili pan mee
“Ingin saya nasihatkan mana-mana premis makanan yang tidak mempunyai persijilan halal, tidak boleh menggunakan apa-apa perkataan atau hiasan seperti contoh bufet Ramadan menunjukkan makanan itu boleh dimakan oleh orang Islam,’ katanya.
Ruhaizad berkata berdasarkan pemerhatian selama seminggu, pihaknya mendapati premis yang turut mempunyai cawangan di pusat bandaraya, sering dikunjungi pelanggan beragama Islam.
Menurutnya, rakaman percakapan awal pemilik premis dilakukan oleh JAIS dan kes disiasat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 iaitu menggunakan apa-apa petunjuk yang menunjukkan makanan itu boleh dimakan oleh orang Islam.
Pada masa sama, Ruhaizad memberi jaminan operasi sedemikian akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kemaslahatan orang ramai selain pemilik premis makanan mengikut peraturan-peraturan yang disediakan.
- Bernama
Waktu Solat
12 Jan 2025
Waktu solat berikutnya,
Maghrib
pada
19:22